KUANTAN: Marah, sedih dan kecewa. Itu dirasakan hampir 30 pemilik rumah di satu kawasan perumahan di Kempadang, dekat sini apabila kediaman yang baru saja dibeli mengalami kerosakan teruk apabila struktur binaannya retak di sana sini.
Malah, ada antara rumah terbabit langsung tidak boleh diduduki berikutan retakan dan rekahan berlaku di setiap ruang dan seakan-akan hampir runtuh.
Pemaju mendakwa, retakan itu berpunca daripada projek pembetungan yang dikendalikan sebuah syarikat berhampiran kawasan itu.
Mohd Hafis Mohamad, 38, berkata dia mendapat kunci rumah pada Mei tahun lalu dan berhajat ingin segera berpindah ke rumah berkenaan.
“Tapi bila datang, saya dan isteri (Suhaidah Othman, 35) nampak ada retakan kecil, jadi kami adu kepada pemaju dan kemudian ada kontraktor yang datang membaikinya.
“Bagaimanapun, proses baik pulih bukan sahaja memakan masa lama, malah setiap kali kami datang jenguk, makin teruk pula rekahan sehinggalah selepas raya haji tahun lalu, kontraktor terus tak datang,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Menurutnya, dia kemudian sekali lagi berjumpa pihak pemaju dan selepas itu baharu dimaklumkan bahawa kejadian itu dipercayai berpunca daripada projek pembetungan di kawasan berhampiran.
“Pemaju kata tak boleh baiki selagi ada pergerakan tanah disebabkan kerja-kerja pembetungan itu.
“Memang saya kecewa dan berasa seperti tertipu apatah lagi anak-anak dah tak sabar nak duduk di rumah baru ini,” kata bapa kepada lima anak berusia satu hingga sembilan tahun itu.
Kejadian itu turut mendapat perhatian EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Dato’ Sri Johari Harun yang datang membuat tinjauan dan mengadakan perbincangan dengan penduduk serta pemaju bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Dr Mohd Farid Abdullah, 60, berkata dia agak terkilan kerana sudah banyak wang dihabiskan untuk mengubah suai kediaman miliknya.
“Bayangkan, harga rumah sahaja dah lebih RM400,000 dan saya habis lebih RM200,000 lagi untuk ‘renovation’ (ubah suai)… tapi keadaannya menyedihkan sedangkan pinjaman kami dah kena bayar.
“Mujur YB Dato’ Sri (Johari) datang dan hasil perbincangan beliau bersama penduduk, pemaju dan beberpaa pihak lagi, nampaknya seperti boleh dapat penyelesaian tidak lama lagi,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN