Rumah bergoyang dilanggar tangki minyak hanyut

Rumah bergoyang dilanggar tangki minyak hanyut

KUANTAN: “Rumah saya bergoyang dilanggar tangki diesel yang dihanyutkan arus banjir pada malam 19 Disember lalu.

“Saya hanya mampu berserah dan berdoa rumah saya tidak runtuh. Ketika itu paras air lebih 3.5 meter,” kata pesara kerajaan, Abu Saffian Husin, 54.

Dia yang menetap di Kampung Air Hitam, di sini, berkata, tangki minyak milik rakannya itu sebelum itu diletakkan di kawasan simpanan barang binaan ini, kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia tidak sangka tangki minyak sebesar itu boleh hanyut dibawa arus banjir hingga tersadai di rumahnya.

“Saya difahamkan masih ada diesel dalam tangki itu dan saya dah beritahu pemiliknya. Tapi,  masih belum diambil sebarang tindakan. Saya bimbang tangki minyak itu mengancam nyawa kami sekeluarga,” katanya.

Abu Saffian berkata, tangki minyak itu mungkin hanyut masuk ke Sungai Belat jika tidak tersangkut di rumahnya. – MOHD IMRAN IZZAD.