Rumah dipenuhi air dalam masa dua jam sahaja

Rumah dipenuhi air dalam masa dua jam sahaja

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: “Keadaan banjir kali ini berbeza berbanding sebelum ini apabila air naik begitu cepat, dalam masa kira-kira dua jam keseluruhan rumah saya dipenuhi air,” kata Abu Sufian Hussin, 53.

  Dia yang menetap di Kampung Air Hitam, di sini, berkata air mula naik 3.30 pagi dan kini paras air lebih satu meter manakala arus air juga kali ini lebih deras berbanding banjir sebelum ini.

  Katanya, sebelum ini air banjir di kawasan Kampung Air Hitam dan beberapa kampung berhampiran berwarna kehitaman merupakan air paya gambut namun kali ini berbeza dengan warna kekuningan seperti selut.

  “Pembangunan yang terlalu pesat di kawasan ini dan kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca warna air banjir kali bertukar dan faktor projek pembangunan juga menyebabkan banjir mudah berlaku.

  “Sekiranya paras air terus meningkat saya sekeluarga akan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau,” katanya, di sini hari ini.

  Beliau yang juga pesara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, banjir kali ini tidak terlalu besar berbanding 2013 yang menyebabkan rumahnya dimasuki air dan terpaksa berpindah.

  Abu Sufian berkata, banjir kali ini diharapkan cepat surut terutama apabila hujan lebat seperti semalam mulai reda.

   Difahamkan 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini sehingga petang ini.

  “Saya sudah biasa berhadapan dengan banjir, bagaimanapun dalam tempoh 10 tahun keadaan banjir bertambah buruk mungkin disebabkan pembangunan,” katanya.