BERA: Keperluan generasi kedua FELDA untuk memiliki rumah tidak akan dipinggirkan, kata YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita akan bantu generasi kedua FELDA yang sebenarnya penyokong setia Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi,” katanya selepas Program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Kemayan di Bilik Gerakan Bandar Kemayan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, FELDA turut menyediakan peruntukan menerusi skim jaminan kredit perumahan kepada generasi kedua FELDA yang tidak mempunyai slip gaji tetapi berhasrat membeli rumah.
“Dalam Bajet 2023, kerajaan ada mencadangkan skim jaminan kredit perumahan kepada sesiapa saja yang tidak ada slip gaji tapi masih boleh memohon pinjaman perumahan dan skim itu dijamin kerajaan.
“Begitu juga pinjaman belia kepada generasi kedua untuk memulakan perniagaan. FELDA ada menyediakan skim pinjaman buat mereka,” katanya. – HUSIN IBRAHIM