“Rumah saya ranap dalam sekelip mata”

“Rumah saya ranap dalam sekelip mata”

Oleh Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: “Dalam sekelip mata rumah tempat saya sekeluarga berteduh selama ini musnah selepas runtuh disebabkan pergerakan tanah,” kata Suhaimi Yunus, 51.

  Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam tadi, dua unit rumah berkembar di Taman Gambang Damai, Gambang, dekat sini, runtuh dan musnah sama sekali dipercayai disebabkan tanah runtuh berpunca daripada pergerakan tanah di cerun bukit berhampiran rumah terbabit.

  Menurut Suhaimi, selepas kira-kira tiga jam dia sekeluarga meninggalkan rumah itu malam tadi, runtuhan berlaku yang meranapkan keseluruhan kediamannya di Lorong 29.

  Katanya, kesan retak yang serius berlaku pada

kabinet dapur apabila beberapa jubin tertanggal petang semalam memberi petunjuk sesuatu yang buruk bakal berlaku sehingga menimbulkan rasa bimbang menyebabkan dia sekeluarga segera berpindah.

  Katanya, dengan bantuan rakan, dia berjaya mendapatkan rumah sewa yang terletak di Taman Gambang Damai Satu tidak jauh dari rumahnya.

  “Malam tadi saya sekeluarga dibantu 20 jiran memindahkan  sebahagian kecil perkakas seperti peti sejuk, mesin basuh dan beberapa peralatan lain. Kami bercadang untuk menyambung kerja memindahkan barang-barang pagi ini.

  “Namun saya tidak menyangka episod memilukan awal tahun baharu berlaku tanpa diduga apabila hanya dalam sekelip mata rumah yang saya sekeluarga duduki sejak empat tahun lalu menyembah bumi.

  “Saya anggarkan kerugian lebih RM400,000 ditanggung kerana banyak barang dan peralatan musnah di bawah runtuhan rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

  Beliau yang bertugas sebagai pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang, di sini, berkata walaupun kehilangan harta benda dalam sekelip mata namun dia tetap bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan jiwa di kalangan ahli keluarganya.

  Suhaimi berkata, dia tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya dia sekeluarga berada dalam rumah ketika runtuhan berlaku yang difahamkan terjadi begitu cepat.

  Katanya lagi, semalam dua kali dia membuat aduan kepada pihak berkuasa terutama selepas kejadian retakan pada lantai depan rumah dan jubin kabinet dapur tertanggal namun tidak sempat sebarang tindakan dilakukan.

  “Kejadian yang berlaku seolah mimpi ngeri yang tidak pernah diduga, keseronokan berteduh di rumah yang selesa dan suasana menarik kini hanya tinggal kenangan sahaja.

  “Saya sekeluarga kini begitu takut melihat rumah yang berada di lereng bukit,” katanya yang berharap mendapat pembelaan daripada pihak berwajib.