Rumah Terbuka Tengku Hassanal

KUANTAN 24 April 2023. (Fikrah Pahang) KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Majlis sambutan Aidilfitri tersebut turut dihadiri barisan pentadbiran negeri Pahang, diketuai YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehhuddin Ishak dan ketua-ketua jabatan serta agensi di negeri Pahang.

Seri Paduka Baginda juga berkenan menyantuni rakyat jelata termasuk 64 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah yang dijemput bagi memeriahkan majlis tersebut.

Majlis di pekarangan istana yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 11.00 pagi itu merupakan kali pertama diadakan semula untuk rakyat jelata selepas 2019 setelah penganjurannya dihentikan sementara ekoran pandemik COVID-19.

Lebih istimewa, ribuan rakyat jelata berbilang kaum turut disajikan pelbagai jenis biskut raya resipi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.


Sumber : Facebook Istana Negara