Pulih projek ‘sakit’ di Jengka 11 kian menjadi realiti

Pulih projek ‘sakit’ di Jengka 11 kian menjadi realiti

JENGKA: Isu membabitkan 182 kediaman terbengkalai di FELDA Jengka 11 bakal berakhir tidak lama lagi, kata Penyelaras DUN Jengka yang juga Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata, ini berikutan berkat usaha gigih YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, mendapatkan modal, mengenalpasti pemaju baharu dan menjalinkan persefahaman dengan pelbagai pihak bagi memastikan projek itu menjadi realiti.

“Alhamdulillah kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar telah mengadakan beberapa pertemuan bersama FELDA bagi membantu membaik pulih rumah supaya diselesaikan dengan segera,” katanya kepada Fikrah Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra dan taklimat bersama wakil pemaju, Dato’ Sri Zailan Ghapar di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), di FELDA Jengka 12. 

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah.

“Kerajaan negeri bersetuju rumah yang dibaik pulih atau bina semula dengan struktur asal itu ditawarkan kepada mereka yang berminat. Keutamaan akan diberi kepada warga FELDA Jengka khususnya Jengka 11,” katanya.

#jengka Pemaju   meninjau projek perumahan generasi kedua Felda 11 yang terbengkalai sejak lima tahun lalu yang akan diambil alih Kerajaan negeri.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan yang dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan secara atas talian.

“Sebelum ini, ada ura-ura menyatakan borang akan dikeluarkan tetapi sebenarnya tiada. Borang permohonan hanya dikeluarkan SUK di Bahagian Perumahan. 

“Borang permohonan lengkap perlu dikembalikan ke SUK dan satu jawatankuasa khas akan memilih mereka yang layak,” katanya. 

Berikutan syarat pemohonan rumah berkenaan telah dilonggarkan, Syed Ibrahim berkata, orang bujang, belum memiliki rumah dan cukup syarat juga layak untuk memohon. – NUR HANNAH KHADIJAH