Sabbaruddin Chik meninggal dunia

Sabbaruddin Chik meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kabinet, Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam ini.

Sabbaruddin, 80, meninggal dunia jam 8 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin apabila disahkan positif Covid-19.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh, pernah menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan selama 10 tahun iaitu dari 1987 hingga 1997.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pada tahun 1996

Sementara itu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai mentor politik beliau.

“Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyar ham Tan Sri Sabbaruddin Chik telah meninggalkan kita semua selama-lamanya.

“Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik. Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari 1987 sehingga 1996.

“Ketika berusia 27 tahun, Allahyarham melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh pada 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

“Pada 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham,” katanya di laman Facebook rasmi beliau, malam ini. – HELMY ABD RAHMAN