Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Dollah Salleh sah dilantik ketua jurulatih baharu Sri Pahang FC bagi menggantikan Thomas Dooley bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengesahan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang.
Menurut Mohammed Suffian, Sri Pahang bersetuju melantik Datuk Che Nasir Salleh selaku pengurus pasukan.
|”Dengan pengesahan ini, Sri Pahang ingin memaklumkan bahawa Thomas Dooley dan penolong, Christophe Gamel masih lagi bersama kelab.
“Tetapi, Dooley dan Gamel tidak akan melatih pasukan Sri Pahang, sebaliknya masing-masing dilantik sebagai penasihat kelab dan ketua jurulatih bawah 21 tahun Pahang.
“Mereka diberi tanggungjawab dalam Sri Pahang terutama dari segi pembangunan pemain belia,” katanya.
Pada 13 Mac lalu, sebelum berdepan Melaka United, Dooley dan Gamel direhatkan selepas kelab itu mengalami dua kekalahan berturut-turut .
Pada aksi pembukaan Liga Super itu, Sri Pahang tewas 1-3 kepada Selangor FC pada 6 Mac dan disusuli 0-2 kepada Perak FC, 10 Mac lalu.
Berikutan itu, tugas sebagai ketua jurulatih diambil alih sementara oleh Dollah yang ketika itu menyandang pengurus pasukan.