Salmid redah hutan 20 kilometer hantar surat

Salmid redah hutan 20 kilometer hantar surat

Oleh Mohd Fikri Mie

fikrahpahang@gmail.com 

MUADZAM SHAH: Perjalanan kira-kira 20 kilometer meredah hutan antara pengorbanan Salmid Kerengga yang bertugas sebagai Posmen Kejiranan di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik, di sini.

Dia yang berketurunan Orang Asli suku kaum Jakun, berkata walaupun mencabar, amanah yang diberikan oleh Pos Malaysia kepadanya kira-kira lima tahun lalu, tetap dilakukan tanpa jemu.

Katanya, motosikal yang bersih bertukar kotor dengan debu merah menjadi perkara biasa buat dirinya.

Menurutnya, setiap minggu dia akan ke Pejabat Pos Muadzam Shah, kira-kira 30 kilometer dari rumahnya di RPS Kedaik, bagi mengambil pelbagai jenis surat dan barangan yang dikirim menggunakan perkhidmatan Pos Laju.

“Sebelum ini, semua surat saya serah terus kepada pemiliknya. Tapi, kini surat dihantar ke  pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Orang Asli (JKKOA) Kedaik. Pemilik akan datang mengambilnya.

“Bagi surat penting seperti panggilan kerja, rawatan kesihatan dan tawaran ke institusi pengajian tinggi akan diserah ke tangan pemiliknya, walaupun terpaksa berjalan jauh berpuluh kilometer di dalam hutan,” katanya. 

Salmid berkata, dia secara sukarela turut menghantar surat milik penduduk beberapa desa kecil jauh di dalam hutan antara Kampung Kedaik Asal dan Kampung Seri Rantau yang memerlukan perjalanan kira-kira 20 kilometer dalam hutan.

“Sempena Hari Pos Sedunia, saya bangga apabila menjadi Orang Asli tunggal 

bertugas sebagai Posmen Kejiranan di Pahang,” kata bapa tiga anak itu.

Di Pahang terdapat sekurang-kurangnya 12 Posmen Kejiranan dengan masing-masing satu di Rompin, Lipis dan Chenor manakala Kuala Krau (2), Muadzam Shah (2) dan Jerantut (5).