PENJAGA gol kebangsaan Mali, Mamadou Samassa secara rasmi menyarung jersi kelab itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.
Pengesahan itu diumumkan menerusi akaun rasmi Facebook Sri Pahang FC.
Dengan kehadiran Samassa dalam skuad Tok Gajah, kelab itu memiliki empat penjaga gol dalam memantapkan benteng terakhir itu.
Tiga penjaga gol lain yang disenaraikan ini ialah Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, Daniel Wafiuddin Sa’dun dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.
Samassa yang memiliki ketinggian 1.97 meter itu pernah mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Mali di peringkat senior.
Pemain berusia 31 tahun itu pernah membantu negaranya menduduki tempat ketiga di Piala Negara-Negara Afrika pada 2013. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN