Sasar kutip 250,000 benih pokok hutan setahun

Sasar kutip 250,000 benih pokok hutan setahun

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

JERANTUT: Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman (PPBBT) Lentang, Bentong, mensasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 250,000 benih membabitkan 100 spesies pokok hutan dan herba tahun ini.

Ketua Penolong Pegawai PPBBT, Solehan Saorani, berkata musim berbuah pokok hutan di antara Julai dan September memberi peluang pihaknya mengumpul sebanyak mungkin benih.

Menurutnya, anggota unit memanjat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kini giat menjelajah seluruh Pahang bagi mengumpul benih pelbagai spesies pokok hutan yang berkualiti.

“Tahun lalu kita hanya mampu menghasilkan kira-kira 100,000 anak pokok hutan, ia dihasilkan dengan cara mencari anak pokok liar dalam hutan di beberapa daerah di negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata selepas turut sama dalam aktiviti mengambil benih pokok Meranti Langgong di Hutan Simpan Tekai Tembeling, di sini. Hadir sama Pegawai Hutan Daerah (PHD) Jerantut, Mohd Zarin Ramlan.

Katanya, antara spesies pokok hutan atau pokok balak yang dikumpul oleh PPBBT seperti meranti, cengal, jelutong, kempas, kapur, merawan, damar minyak, keruing dan balau.

“Hampir setiap bulan anak pokok dikeluarkan dari tapak semaian PPBBT untuk program penanaman semula di Pahang dan beberapa negeri lain,” katanya.