SASMEC @IIUM bina bilik terapi murid istimewa

SASMEC @IIUM bina bilik terapi murid istimewa

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

PEKAN: Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan peruntukan RM60,000 bagi membina bilik terapi khas untuk murid istimewa di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Shahbandar, di sini.
Pengarah SASMEC @IIUM,
Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata, pihaknya menyediakan bilik terapi atau Snoezelen bertujuan memberi kemudahan kepada 23 Murid Berkeperluan Khas (MBK) berumur tujuh hingga 14 tahun yang belajar di sekolah berkenaan.
Menurutnya, bilik terapi dicipta khas untuk murid autisme selain kecacatan perkembangan otak, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini yang dapat membantu murid belajar serta menenangkan fikiran atau terapi mereka.

Bilik terapi murid istimewa di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Shahbandar yang disumbangkan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Katanya, kesan cahaya, bunyian dan juga aroma antara kaedah yang digunakan dalam bilik terapi yang mampu mengawal emosi selain
membantu mengurangkan keresahan, agitasi dan hiperaktif terutama di kalangan murid sindrom down.
“Bilik terapi ini penting dalam mewujudkan suasana tenang yang membolehkan penghuninya lebih peka dengan persekitaran dan lebih penting dapat menghidupkan deria mereka yang sebelum ini lemah.
“SK Indera Shahbandar merupakan sekolah pertama di Pahang memiliki bilik terapi direka khas dengan pelbagai peralatan terkini yang dicadangkan oleh beberapa doktor pakar,” katanya, semalam.
Beliau menambah, sumbangan bilik terapi pada SK Indera Shahbandar yang menelan belanja lebih RM60,000 diharap dapat memberikan hasil yang positif pada murid dalam jangka masa panjang demi masa depan mereka.
Dr Mohamed Saufi berkata, kerjasama pakar kanak-kanak, pakar gigi kanak-kanak, pakar pemakanan, pakar dietik nutrisi, pakar bakteria dan pakar psikologi digabungkan untuk menyediakan bilik terapi SK
Indera Shahbandar yang dianggap istimewa.
“Kita sedia bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan sekolah di negeri dalam menyalurkan maklumat serta kepakaran untuk menyediakan bilik terapi di sekolah,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK
Indera Shahbandar, Mohammad Ismail berkata, pihaknya berasa bertuah menerima kemudahan bilik terapi yang disediakan SASMEC @IIUM khusus untuk murid istimewa.

Bilik terapi murid istimewa di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Shahbandar dilengkapi pelbagai kemudahan yang disumbangkan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


“Saya mengucapkan terima kepada SASMEC @IIUM yang begitu prihatin terhadap nasib murid istimewa di SK
Indera Shahbandar yang memerlukan sokongan dari segi pendidikan serta perkembangan otak mereka.
“Seramai tujuh guru bertanggungjawab mendidik dan memulihkan 23 murid istimewa setiap hari,” katanya yang sentiasa memantau perkembangan murid istimewa.
Katanya, sebelum ini guru pendidikan khas turut diberi pendedahan cara menggunakan peralatan yang terdapat di bilik terapi oleh pihak SASMEC @IIUM dalam memastikan usaha memulihkan murid istimewa menjadi kenyataan.