KUANTAN: Kerajaan Pahang menyokong inisiatif Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang akan melancarkan program baharu iaitu menanam pokok bagi setiap kelahiran bayi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, berkata setiap anak pokok yang baharu ditanam, akan ditanda nama dan akan ditanam di lokasi bersesuaian di setiap daerah di negeri ini.
Katanya, program terbabit akan dimulakan selepas sambutan Aidilfitri tidak lama lagi dan setakat ini, Pantai Serandu di Pekan dipilih antara lokasi penanaman pokok bagi program berkenaan.
“JPNP akan mengenal pasti pokok bersesuaian untuk ditanam, bergantung kepada landskap kawasan masing-masing.
“Pokok yang ditanam bukan sahaja untuk memperingati kelahiran bayi, malah akan dijadikan kawasan tarikan pelancong. Mungkin anak yangdilahirkan boleh melawat tapak tanaman pokok dan mengambil gambar pada hari lahir mereka satu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan bertulis daripada Datin Samsiah Arshad (BN – Bukit Ibam) berkenaan perkara itu.
Sementara itu, Rosli Abdul Jabar (Pas – Tanjung Lumpur) mencadangkan kerajaan negeri untuk menyediakan insentif khas kepada wanita yang melahirkan ramai anak.
Menjawab soalan itu, Shahaniza berkata, perkara itu akan dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri. – HELMY ABD RAHMAN