Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
TEMERLOH: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh menangkap ular sawa batik 150 kilogram dengan panjang kira-kira tujuh meter di Kampung Paya Luas, di sini, malam semalam.
Difahamkan, ular sawa berusia antara tiga hingga empat tahun itu sedang menuju ke kandang lembu sebelum ditemui penduduk kampung di atas jalan deka kandang ternakan terbabit.
Ketua Operasi APM Temerloh, Mohd Dzul Ain Bahirun, berkata beliau bersama tiga anggota APM tiba di lokasi pada 8.15 malam.
Katanya, mereka mengambil kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan dengan bantuan penduduk kampung.
“Ular sawa itu agresif dan beberapa kali menyerang anggota. Penduduk mendakwa ular sawa itu datang dari kawasan berpaya, melintas jalan dan menuju ke arah kandang lembu,” katanya.
Menurutnya, ular sawa itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pegawai APM Temerloh, Mohd Ikram Haron berkata, pihaknya merekodkan purata 20 tangkapan ular bulan di daerah ini, yang menyaksikan jumlah aduan meningkat ketika musim panas.
“Antara ular yang sering ditangkap ialah sawa, tedung hitam dan selar. Ular sawa yang ditangkap itu paling besar tahun ini,” katanya.