Saya akan tunaikan hajat arwah ayah supaya kerja dengan JPNP

Saya akan tunaikan hajat arwah ayah supaya kerja dengan JPNP

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: “Saya akan tunaikan hajat arwah ayah yang begitu inginkan saya bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) satu hari nanti,” kata Urfan Iskandar Zulkarnain, 21.

  Dan kini katanya, peluang sudah terhidang apabila dia diterima untuk mengikuti  kursus sijil perhutanan renjer hutan di Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

  Menurutnya, lebih bermakna  lagi surat tawaran mengikuti kursus selama dua tahun itu diserahkan sendiri kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Ridza Awang.

  “Saya bersyukur impian untuk mengikuti kursus perhutanan di 

FORTRAIN kini sudah menjadi kenyataan, selepas tamat dua tahun latihan saya akan memohon jawatan renjer hutan dengan JPNP.

  “Walaupun perjalanan masih panjang namun saya penuh yakin suatu hari nanti akan berkhidmat dengan JPNP seperti yang diinginkan arwah ayah,” katanya yang menjalani temuduga secara dalam talian bulan lalu.

  Urfan Iskandar merupakan anak kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut, Pengawas Hutan Zulkarnain Hitam, 58, yang terkorban bersama anak sulungnya, Ukai Iskandar, 23, ketika meredah banjir di Kampung Gintong, di sini, minggu lalu.

  Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, Zulkarnain bersama tiga anak lelakinya meredah banjir selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

  Sementara itu, Mohd Ridza berkata, Bahagian Latihan Perhutanan JPSM mengambil keputusan menerima permohonan Urfan Iskandar

yang begitu berminat mendalami ilmu perhutanan seterusnya bercita-cita untuk bertugas dengan JPNP suatu hari nanti sebagai memenuhi hajat arwah ayahnya. 

  “Kita akan membantu keluarga  arwah Zulkarnain yang merupakan kakitangan PHD Jerantut. Semua urusan bayaran imbuhan yang layak diterima balu arwah, Mazayana Abdullah, 44 sudah diselesaikan.

  “Bayaran berkenaan penting untuk mereka menyara keluarga dan hari ini saya juga menyampaikan sumbangan kewangan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan JPSM,” katanya selepas mengunjungi keluarga arwah  Zulkarnain di Taman Perdana, di sini, semalam.

  Hadir sama, Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin yang turut menyampaikan sumbangan JPNP.

   Mohd Ridza berkata, pihaknya berharap nasib keluarga arwah Zulkarnain terus terbela selepas ini memandangkan lima anaknya masih kecil dan memerlukan pembelaan sewajarnya terutama dari segi kewangan.