Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
TEMERLOH: “Faedah yang diterima amat bermakna untuk saya meneruskan kehidupan dan membesarkan dua anak berusia enam bulan dan tiga tahun,” kata Nurhaslin Mohd Suhaimi Udaya.
Nurhaslin, 30, menerima pencen RM2,244.37 sebulan di samping bayaran pengurusan jenazah RM2,000 berikutan kehilangan suami kerana COVID-19, pada awal Ogos ini.
Nurhaslin berkata, selepas kehilangan suami, Allahyarham Muhamad Izzmanudin Ibrahim, 34, dia seolah-olah buntu memikirkan sumber pendapatan kerana sebelum ini bergantung kepada pendapatan suami.
“Saya bercadang mencari pekerjaan yang sesuai selepas ini. Saya kini memerlukan masa untuk bertenang. Sukar untuk menerima orang yang disayangi kini sudah tiada,” katanya yang kini menetap di Taman Sri Layang, Mentakab, di sini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin.
Hadir sama Timbalan Pengarah PERKESO Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin dan Pengurus PERKESO Temerloh, Roziah Abd. Wahid.
Sementara itu, Hamzi Hanifa berkata, suami Nurhaslin mencarum dengan PERKESO dan ia melayakkan isteri dan anaknya menerima beberapa faedah.
“Waris layak menerima faedah pengurusan mayat RM2,000 dan bayaran pencen bulanan akan dibayar kepada balu seumur hidupnya dan anak-anak sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama,” katanya.
Sehingga ini, katanya, PERKESO menyalurkan faedah kepada 24 waris di Pahang yang kematian ahli keluarga akibat pandemik COVID-19.