Sayang ngat kerajaan negeri ke Orang Asli ni weh

Sayang ngat kerajaan negeri ke Orang Asli ni weh

PEKAN: Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM1.6 juta untuk bantuan bakul makanan kepada 25,000 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di negeri ini.

Program bantuan itu meliputi bantuan pelbagai barangan keperluan iaitu minyak masak, gula, beras, biskut, mee segera, susu dan minuman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata ia antara bukti keprihatinan dan kecaknaan kerajaan negeri terhadap masyarakat Orang Asli di negeri ini.

“Kerajaan Pahang di bawah kepemimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa memberi perhatian kepada rakyat termasuk Orang Asli.

“Orang Asli boleh dianggap bertuah apabila sentiasa menerima pelbagai bantuan antaranya makanan, kemudahan rumah, jalan dan kewangan,” kata EXCO Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang itu.

Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Bantuan Bakul Makanan kepada KIR Orang Asli Kampung Permatang Keledang dan Kampung Permatang Siput, di sini, kelmarin.

Kira-kira 5,000 KIR Orang Asli daerah ini sudah menerima bakul makanan sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2022 pada 9 Ogos lalu. – MOHD IMRAN IZZAD