MARAN: “Pilu rasa hati melihat tiga ekor kucing yang saya bela (pelihara) sejak kecil mengiau ketika dihanyutkan air,” kata Mahasan Ahmad, 48, dari Kampung Baru Sungai Chedong di sini.
Mahasan adalah antara mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran di sini.
Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, ketika kejadian 3 Januari lalu, air naik terlalu cepat sehingga menenggelamkan hampir keseluruhan rumah.
“Dalam kekecohan memastikan keselamatan keluarga iaitu isteri dan enam anak berusia 10 hingga 15 tahun, kami tidak sedar tiga ekor kucing sudah dihanyutkan air.
“Hanya mampu tengok sahaja haiwan kesayangan kami sekeluarga itu dibawa air. Lagipun waktu itu saya sibuk pastikan keselamatan anak isteri. Malah, saya tak sempat selamatkan apa-apa kecuali kereta,” katanya ketika ditemui di PPS berkenaan, hari ini.
Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana semua anggota keluarganya terselamat daripada sebarang kecelakaan.
“Memang sedih juga dengan apa yang berlaku, tapi ini sudah takdir. Mujur juga Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) datang melawat tadi dan beri bantuan sedikit serta berjanji akan datang lagi melawat mangsa banjir di sini.
“Setidak-tidaknya terasa pulih sedikit semangat kami selepas menempuh bencana banjir ini yang juga paling teruk pernah kami alami,” katanya.
Bagi Hamiah Bidin, 81, yang juga jiran kepada Mahasan, banjir kali ini paling teruk pernah dialaminya sepanjang menetap di kampung berkenaan.
“Air naik laju sangat, mulai jam 2 pagi dah mula naik, lepas itu jam 4 dah tenggelamkan lantai rumah.
“Nenek cuma sempat selamatkan kain dua helai dan baju dua helai, yang lain semua tak sempat,” katanya yang ditemani cucu, Umi Nabilah Abdullah, 22.