Sebanyak 146 penyu agar mendarat untuk bertelur di Pantai Cherating

Sebanyak 146 penyu agar mendarat untuk bertelur di Pantai Cherating

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Sebanyak 146 penyu jenis agar betina mendarat di sepanjang pesisir Pantai Cherating, dekat sini, untuk bertelur sepanjang tahun lalu.

  Pendaratan reptilia itu berjaya menghasilkan sebanyak 12,267 telur, namun hanya 6,286 telur sahaja yang menetas dan anak penyu dilepaskan ke laut secara berperingkat oleh petugas berkaitan.

Pelancong yang berkunjung ke Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (PPKP) Cherating berpeluang melihat anak penyu dan melepaskan ke laut.

  Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, sepanjang Julai mencatat jumlah terbanyak pendaratan penyu iaitu 47 kali yang menghasilkan sebanyak 4,123 telur diikuti Ogos 35 kali (2,872); September 25 kali  (2,777); Oktober 16 kali (1,447) dan November 12 kali (916).

Tiada pendaratan penyu dicatatkan pada Disember lalu.

  “Sepanjang tahun lalu pihak kami tidak menemui penyu jenis karah mendarat untuk bertelur, perkara ini amat membimbangkan dan berharap episod sama tidak berlaku tahun ini.

  “Hampir setiap malam petugas meronda pantai Cherating di kawasan yang diwartakan untuk mengesan kehadiran penyu,” katanya dihubungi, di sini.

  Beliau menambah, tahun lalu seramai 36,923 pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (PPKP) Cherating bagi melihat pameran hidupan laut serta paling ditunggu aktiviti melepaskan anak penyu ke laut bermula jam 6 petang.

  Abdullah berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu, hampir setiap minggu pelancong datang bersama keluarga termasuk secara rombongan membabitkan seramai 36,923 orang. Kemuncak kunjungan pelancong pada Ogos iaitu seramai 14, 209 orang dan  September (5,584).

Pelancong yang berkunjung ke Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (PPKP) Cherating berpeluang melepaskan anak penyu ke laut.

  “Sepanjang 2019 sebanyak 42,162 telur jenis agar dikumpul dan 28,420 menetas serta dilepaskan ke laut, berbanding 12,683 telur dan  pada 2018.

  “Banyak faktor yang mempengaruhi penyu betina mendarat untuk bertelur, termasuk gangguan daripada manusia, cahaya lampu selain persekitaran.

  “Kita mengadakan pelbagai usaha kesedaran di kalangan nelayan terhadap pentingnya mereka bekerjasama dengan jabatan untuk memastikan kejadian penyu tersangkut pada pukat tidak terus berlaku,” katanya.