LIPIS: Sebanyak 2,000 pokok nadir dan balak berkualiti tinggi pelbagai jenis ditanam pada program prapenanaman sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Peringkat Kebangsaan di Hutan Simpan Tanum, di sini, hari ini.
Pegawai Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad, berkata sebanyak 1,000 pokok nadir yang ditanam terdiri daripada pokok perah, petai dan kerdas.
Katanya, turut ditanam dua spesies pokok balak berkualiti tinggi iaitu Meranti Tembaga dan Meranti Sarang Punai yang boleh mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri pada masa akan datang.
“Program hari ini disertai kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada kakitangan 15 agensi kerajaan di daerah ini yang diberi peluang untuk menanam pokok.
“Program kali ini diadakan sempena pelancaran kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri ini,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Nor Shahrini turut memuji sukarelawan yang kelihatan bersemangat apabila berpeluang menanam pokok dalam kawasan yang disediakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Hari Hutan peringkat kebangsaan dan pelancaran kempen penanaman 100 juta pokok peringkat Pahang akan diadakan pada 26 Mac ini. – MOHD IMRAN IZZAD.