Sebanyak 90 masjid dan surau di Pahang terjejas banjir bulan lalu

Sebanyak 90 masjid dan surau di Pahang terjejas banjir bulan lalu

TEMERLOH: Banjir yang melanda negeri ini penghujung tahun lalu menyebabkan 44 masjid dan 46 surau di 10 daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata secara keseluruhannya, ia membabitkan kerugian hampir RM2.5 juta. 

“Semua masjid dan surau yang terjejas membabitkan daerah Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Muadzam Shah di Rompin.

“Namun kita bersyukur kepada Allah kerana sebahagian daripada masjid dan surau berkenaan memperoleh sumbagan daripada pihak NGO (badan bukan kerajaan) selain inisiatif masjid itu sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sebahagian lagi kos pemulihan akan dibiayai Kerajaan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta sumbangan pelbagai pihak. 

“Proses mengenal pasti kerosakan untuk setiap masjid dan surau sudah dilakukan. Ada antara masjid dan surau yang tenggelam sepenuhnya, ada dinaiki air separuh dan ada juga air naik sampai halaman atau dewan dan bangunan kelas milik masjid.

“Kerosakan membabitkan struktur tidak begitu banyak iaitu antara lima buah masjid dan surau. Kebanyakannya mengalami kerosakan permaidani, sistem pembesar suara, pendawaian elektrik, perabot, tandas dan dataran,” katanya.

Menurutnya, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dijadualkan menyampaikan sumbangan kewangan kepada masjid dan surau terbabit untuk dibaik pulih dalam masa terdekat ini. – HELMY ABD RAHMAN