Sebanyak RM126 juta bantuan diagihkan Muip sehingga 30 September lalu

Sebanyak RM126 juta bantuan diagihkan Muip sehingga 30 September lalu

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sudah mengagihkan sebanyak RM126 juta kepada golongan memerlukan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Dato’ Ahmad Hairi Hussain, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM27 juta membabitkan bantuan kepada golongan yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, bantuan Covid-19 lebih kepada barangan keperluan terutama membabitkan individu atau keluarga dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Selain itu, Muip menyediakan bantuan melalui Program Dapur Zakat membabitkan semua masjid di Pahang yang terbuka kepada semua kariah,” katanya.

Ahmad Hairi ditemui media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di bilik seminar Pusat Kutipan Zakat, di siini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Dato’ Halidan Md Daud.

Pada majlis itu, FGV Holdings Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM4.5 juta, Pahang Skills Development Centre (PSDC) (RM100,000) dan Rural Capital Berhad (RM63,959). MUHAMMAD IZZ ZAHIN