Sebuah kereta hangus, empat lagi terbabas akibat tumpahan diesel

Sebuah kereta hangus, empat lagi terbabas akibat tumpahan diesel

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

BENTONG: Sebuah kereta jenis Mazda hangus manakala empat lagi kenderaan termasuk van milik Jabatan Penjara Malaysia rosak selepas terbabit dalam kemalangan akibat tumpahan diesel dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan FELDA Mempaga – Chinta Manis, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Bentong, Deputi Superintendan Mohd Shahril Ab Rahman bagaimanapun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, hanya seorang mangsa mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati, sebuah kereta dari arah FELDA Mempaga menuju ke Temerloh dan ketika tiba di tempat kejadian mendapati ada tumpahan minyak diesel diatas permukaan jalanraya serta ada percikan api.

BENTONG… keadaan kereta yang hangus terbakar selepas terkena percikan api daripa tumpahan minyak diesel di Jalan FELDA Mempega – Chinta Manis, di sini, awal pagi tadi.

“Percikan api itu kemudian terkena pada kereta berkenaan lalu terbakar manakala empat kenderaan lain terbabas akibat jalan licin berpunca daripada tumpahan minyak diesel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, seorang pemandu rakyat tempatan berusia 44 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan siku sebelah kanan.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan susulan manakala pemandu dan penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Punca tumpahan minyak itu masih disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987 dan kita minta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.