Secara peribadi saya mahu tukar pemain bahagian serangan – Dollah Salleh

Secara peribadi saya mahu tukar pemain bahagian serangan – Dollah Salleh

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dollah Salleh menjelaskan bahawa terpulang kepada pengurusan Sri Pahang FC sama ada mengekalkan pemain import, khususnya penyerang berikutan prestasi hambar yang dipersembahkan.

  Pengurus pasukan Sri Pahang itu berkata, secara peribadi, beliau mahu menukar pemain terutama bahagian serangan kerana gagal mempamerkan prestasi yang diinginkan.

  Katanya, sebaik jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan depan, beliau mengharapkan dapat menukar penyerang yang mampu memberi impak kepada pasukan.

  “Bagaimanapun, segala keputusan terletak kepada pengurusan sama ada akan ada pertukaran pemain terutama tenaga import sebaik jendela kedua pemain dibuka nanti.

  “Ini kerana penyerang import yang ada ketika ini tidak banyak membantu ketika pasukan mengharapkan khidmat mereka,” katanya.

  Dua penyerang yang dimaksudkan Dollah ialah Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique.

  Sebelum saingan liga bermula, dua penyerang itu dikatakan bakal memberi tekanan kepada pertahanan lawan berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

  Namun, selepas tujuh perlawanan, Bokhashvili dan Henrique gagal menyerlah sebaliknya pemain tempatan yang lebih menonjol.

  Selepas tujuh perlawanan yang dilalui, Sri Pahang berada di kedudukan ke-10 liga dengan mengutip lima mata.