Sedak sikit nak online lepas ni

Sedak sikit nak online lepas ni

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju mengutamakan tanah milik kerajaan negeri untuk dijadikan tapak pembinaan 191 menara telekomunikasi baharu yang dirancang menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2021).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata langkah itu bagi mempercepat dan melancarkan proses perolehan tapak dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Katanya, perkara itu sudah dijelaskannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan JENDELA Negeri Pahang yang dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Mohd Faisal Md Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Orang Asli Corporation (ORACO) Pahang, Dato’ Muhammad Olian Abdullah dan Pegawai Pelaburan Perniagaan Negeri Pahang (Pejabat Menteri Besar) Dato’ Kamarul Arifin Abd Rahman di Kuantan, semalam.

“Sebanyak 191 menara telekomunikasi baharu dibina di Pahang sepanjang tahun ini bagi menambah baik capaian Internet dan telekomunikasi di seluruh negeri ini sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 270 menara baharu yang dirancang menerusi JENDELA Fasa 1 (2020-2021). 

“Terkini, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju memberikan keutamaan kepada tanah milik kerajaan negeri sebagai tapak untuk membina menara baharu bagi mempercepatkan proses perolehan tapak dan kelulusan daripada PBT sekali gus memudahkan pembinaan semua menara berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pada 2020, sebanyak 28 menara dibina diikuti 51 tahun lalu.

Tambahnya, sebanyak tujuh syarikat dilantik dalam bagi merealisasikan inisiatif itu yang mana  proses pelaksanaan dibahagikan kepada dua peringkat kerja iaitu Peringkat 1 bagi kerja pembinaan infrastruktur menara dan aksesorinya serta Peringkat 2 yang membabitkan penyediaan peralatan elektronik selain penyediaan rangkaian perkhidmatan. 

“Syarikat yang terbabit ialah Edotco, Theta, Felda FGV Prodata, Baycomm, Celcom, Digi dan Umobile. Semua menara ini dijangka akan siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini,” jelasnya. 

Selain itu, Mohammad Fakhruddin berkata, inisiatif lain dibawah JENDELA di Pahang yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf 902 stesen pemancar, melengkapkan 118,260 premis dengan rangkaian gentian optik dan menyediakan internet jalur lebar dengan teknologi satelit di 69 kampung Orang Asli. 

“Melalui pelaksanaan JENDELA, kadar liputan 4G di Pahang terus meningkat daripada 89.1% (suku kedua 2020 iaitu sebelum JENDELA bermula) kepada 92.56% (suku keempat 2021). Kadar liputan dijangka terus meningkat apabila semua inisiatif JENDELA siap pada penghujung tahun ini. 

“Saya berharap, semua pihak yang terbabit memberikan kerjasama baik antara satu sama lain dan berusaha sebaik mungkin dalam mempercepatkan projek JENDELA ini demi kemudahan rakyat dan kemajuan negeri Pahang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN