Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Zulkepli Osman
TEMERLOH: Walaupun terpaksa mengharungi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu, penduduk Kampung Paya Mengkuang, Sanggang, di sini, tetap gembira apabila permintaan mereka ditunaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.
Difahamkan sebelum ini, penduduk meminta supaya pihak berwajib menyediakan bekalan ikan laut segar dan ia dipenuhi apabila Nor Azmi menghantar sendiri ikan kembung seberat 200 kilogram (kg) untuk dinikmati 700 penduduk daripada 198 keluarga di perkampungan Orang Asli itu.
“Saya tak mahu mereka rasa tertekan kerana tidak dapat keluar dari kawasan kampung, sebab itu sebagai ADUN, saya cuba penuhi permintaan mereka.
“Ikan ini diperoleh daripada pembekal di Kuantan dan dibeli pembantu saya. Sebelum ini pun saya dan pihak JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) ada menghantar bakul makanan untuk mereka dan hari ini (semalam) saya tambah ikan laut seperti diminta penduduk,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas menghantar ikan berkenaan, semalam.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Mengkuang, Hazirol Abdul Aziz, berkata penduduk kampung itu ternyata gembira dengan pemberian berkenaan.
“Kampung ini ada 700 penduduk Orang Asli dan kita tak mahu mereka ke sana ke mari, lebih-lebih lagi sekeliling kampung ini terdapat banyak perkampungan Melayu yang sangat dekat.
“Sebab itu segala keperluan dipenuhi. Penduduk juga suka apabila dapat ikan laut seperti diminta dan mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Azmi serta JAKOA,” katanya.
Menurutnya, Kampung Paya Mengkuang dikenakan PKPD sejak 17 September lalu hingga 30 September ini apabila seramai 169 penduduk dikesan positif Covid-19.