Sedaplah penjawat awam kat Pahang ni

Sedaplah penjawat awam kat Pahang ni

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan janjinya untuk mengumumkan bonus jauh lebih baik kepada 8,000 penjawat awam di negeri ini tahun depan iaitu sebanyak satu setengah bulan gaji.   

Berita gembira itu disampaikan Wan Rosdy ketika membantangkan Belanjawan Pahang 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy yang mesra disapa Tok Wan, ketika pembentangan belanjawan itu berkata, bonus itu sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam dalam memastikan agenda pembangunan negeri dicapai. 

“Pembayaran bonus sebulan gaji akan dibayar pada tahun ini manakala setengah bulan lagi pada Januari 2023. 

“Pemberian ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM33 juta yang akan memberikan manfaat kepada 8,000 penjawat awam di Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa bayaran insentif lain antaranya sumbangan sekali bayar berjumlah RM250 kepada 300 orang penyelia dan petugas pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK). 

“Bayaran insentif ini membabitkan peruntukan RM75,000 sebagai usaha mengiktiraf komitmen pekerja, pendidik dan pengasuh Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kita yakin ia mampu menjadi pemangkin kepada mereka untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada golongan berkenaan,” katanya. 

Selain itu, beliau mengumumkan pemberian apresiasi kepada 9,000 penerima terdiri daripada veteran tentera dan polis yang akan menerima RM200 setiap seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM1.8 juta.

“Pesara kerajaan negeri seramai 4,500 orang akan menerima RM200 setiap seorang. Kerajaan negeri juga akan meneruskan Program Anggun Niaga pada tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM750,000. 

“Program ini akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 ibu tunggal di seluruh Pahang,” katanya. 

Beliau juga mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) akan diteruskan dan membabitkan 218,193 penerima. 

“BPP diperkenalkan tahun ini membabitkan peruntukan RM42.4 juta dan kerajaan negeri menambah RM8 juta lagi bagi program BPP tahun depan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN