Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
TEMERLOH: “Selama sembilan hari saya sekeluarga terpaksa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah ditenggelami banjir,” kata Nolia Mohd Nayan, 44.
Dia yang menetap di Kampung Baru Kuala Krau, dekat sini, berkata, banjir kali ini yang membawa bersama selut
menyebabkan semua barangan termasuk pakaian kotor dan bertukar warna menjadi kuning dengan paras tertinggi air dicatatkan lebih dua meter.
Katanya, kedudukan rumahnya kira-kira 100 meter dari tebing Sungai Pahang memburukkan lagi keadaan apabila air cepat naik menyebabkan banyak barangan tidak sempat diselamatkan.
“Saya bersama keluarga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian ketika berpindah ke PPS Dewan Serbaguna Kuala Krau dan kami jangka banjir tidak terlalu besar dan hanya beberapa hari sahaja.
“Namun keadaan sebaliknya berlaku apabila banjir bertahan hampir dua minggu. Selepas dibenarkan pulang luluh hati saya apabila melihat keadaan dalam rumah bukan sahaja kotor malah kebanyaka petabot turut rosak,” katanya yang bekerja sebagai tukang urut wanita.
Beliau menambah, dia menanggung kerugian lebih RM5,000 apabila perabot dan pelbagai barangan musnah dalam sekelip mata selain banyak pakaian terpaksa dibuang kerana terendam dalam lumpur.
Che Nolia katanya, walaupun banjir kali ini lebih kecil berbanding 2014 namun kesan serta kerugian yang dialami mangsa tidak kurang hebatnya kerana air yang cepat naik menyebabkan banyak barang tidak sempat diselamatkan.
“Saya sekeluarga kini bergotong-royong membersih dalam rumah termasuk barangan dan peralatan yang boleh digunakan dan banyak juga barangan terpaksa dibuang.
“Lebih sedih pakaian sekolah anak dan cucu saya yang baharu dibeli untuk sesi persekolahan akan datang turut ditenggelami banjir, baju berwarna putih kini menjadi kuning,” katanya yang dibenarkan pulang ke rumah kelmarin.
Jiranya Ronisah Abu Bakar, 52, berkata walaupun paras air kali ini lebih rendah namun secara keseluruhan banjir yang berlaku minggu lalu pada tahap besar apabila hampir mencecah bumbung rumah.
“Saya reda apabila banyak barang dan peralatan musnah dan kami penduduk di Kampung Baru bersyukur tidak ada kehilangan nyawa disebabkan banjir kali ini,” katanya.