Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUANTAN: Polis memberi peringatan kepada mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan aktiviti Pasar Kemunting dan Pasar Besar Kuantan untuk hadir membuat ujian calitan COVID-19 di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini, atau polis akan hadir ke rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya kini mempunyai 261 senarai nama dan alamat individu yang masih gagal berbuat demikian.

“Kita sudah menggerakkan Ops Kesan membabitkan kira-kira 15 anggota termasuk pegawai untuk ke rumah individu yang dikenal pasti serta meminta mereka untuk hadir ke TSK mulai esok.

“Selesai ujian calitan COVID-19, mereka perlu berada di rumah untuk menjalani kuarantin seperti mana tempoh yang diberikan,” katanya kepada media selepas memantau Ops Kesan, di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, setiap individu sepatutnya memainkan peranan masing-masing dan tidak perlu menunggu polis mengambil tindakan datang ke rumah mereka namun tindakan terbabit terpaksa dilakukan kerena ujian terbabit tidak patut dilengahkan.

“Saya menyeru kepada mereka yang ada kaitan dengan aktiviti Pasar Kemunting dan Pasar Besar Kuantan, individu terbabit dan keluarga perlu hadir untuk membuat saringan untuk kebaikan bersama.
“Sebagai peringatan, mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya notis sudah disampaikan secara jelas kepada individu berkaitan dan mereka tahu tetapi tidak pergi membuat saringan seperti arahan pegawai kesihatan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 11 subseksyen 5 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kompaun sehingga RM5,000,” tegasnya.
Menurutnya, Ops Kesan dilaksanakan bukan untuk membuat tangkapan tetapi menyampaikan peringatan supaya individu berkenaan terus hadir ke tempat saringan.