Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Pemimpin masyarakat diingatkan sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat keadaan penduduk di lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, berkata, penghulu, pengerusi JKKK dan Ketua Cawangan UMNO perlu memantau keadaan penduduk di Agropolitan Tanjung Batu, Kampung Badong Dalam, Kampung Permatang Durian di Merchong dan seluruh Bebar amnya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, turut mahu ketua masyarakat segera mengagihkan bantuan bagi memastikan nasib penduduk terus terbela dan mendapat bekalan secukupnya.
“Kawasan terbabit dikenakan pelaksanaan PKPD dan TEMCO. Oleh itu, kita semua perlu melakukan pemantauan terhadap keperluan penduduk sekerap mungkin.
“Selain itu, kemasukkan orang luar perlu dikawal dengan serius dan patuhilah segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya ketika mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama semua kepimpinan di tiga kawasan di sini, semalam.
Selain itu, beliau bersyukur dan menjunjung kasih di atas perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang begitu prihatin mengurniakan segera bantuan kepada lebih 600 keluarga di kawasan terbabit.