KUANTAN: “Boleh gelap mata nak pilih barang-barang. Semuanya jadi murah. Potongan sampai 50 peratus,” kata Norhayati Abd Hamid.
Warga emas berusia 62 tahun dari Taman Pelindung, Beserah itu berkata, dia tidak menyangka langsung dapat beli minyak masak lima kilogram pada harga RM16, kicap RM2, ayam RM9, beras, gula dan barang keperluan lain pada harga yang sangat rendah.
“Terima kasih kepada penganjur yang mengadakan aktiviti Jualan Rakyat ini kerana memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk membeli pelbagai barangan keperluan dapur,” katanya.
Norhayati ditemui pada program Souq@Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat negeri Pahang di Masjid Jamek, Beserah, di sini, pada 29 Oktober lalu.
Maimunah Talib, 60, dari Kampung Masjid bersyukur kerana dapat membeli barang pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Walaupun hanya sehari, penduduk mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk hadir dan membeli dalam kuantiti banyak kerana harganya yang murah,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh hadir memeriahkan aktiviti jualan.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama pasaraya YADIMart memberikan potongan harga sehingga 50 peratus ke atas hampir 1,000 jenis barangan keperluan yang dijual.
Pada program itu juga, 500 penerima terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti B40, mualaf, warga emas, petani, penoreh getah dan Orang Kelainan Upaya menerima bantuan barangan dapur termasuk ayam, tepung, gula dan beras. – NUR HANNAH KHADIJAH