Sekali harimau bawah rumah daa…

Sekali harimau bawah rumah daa…

KUANTAN: Seorang penduduk di Kampung Pagar Sasak, dekat Lipis, terkejut apabila menyedari kelibat harimau berada di bawah rumahnya, hari ini.

Dia kemudiannya menghubungi pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang bagi memaklumkan mengenai kejadian itu. 

Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan harimau itu pada 5.39 petang. 

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis ke lokasi kejadian bagi tujuan pemantauan awal. 

“Sebaik tiba, pasukan bomba mengesahkan haiwan itu adalah harimau akar dan sedang ‘berehat’ di bawah rumah penduduk di hadapan Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak, Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan.

Ismail berkata, pihaknya sedang menunggu pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut. – KHALEEF FITRI