Sekolah agama di Pahang buka 11 Oktober

Sekolah agama di Pahang buka 11 Oktober

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH: Semua 18 sekolah menengah agama di negeri ini (SMAN) akan dibuka secara bersemuka pada 11 Oktober depan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pada asasnya, kehadiran pelajar ke sekolah adalah secara penggiliran, namun Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mencadangkan tiada penggiliran pelajar di SMAN.

Katanya, ini kerana kelas sedia ada boleh digunakan untuk semua pelajar disebabkan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 masih belum dibenarkan ke sekolah dan hanya mengikuti pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).  

“Selaras penetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri-negeri yang beralih ke Fasa 3 PPN, maka 18 SMAN  juga akan memulakan sesi persekolahan pada 11 Oktober 2021 secara penggiliran sebagaimana ditetapkan dalam SOP Fasa 3 bagi sekolah harian dan swasta membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan bersijil. 

“Ia membabitkan seramai 1,697 pelajar yang akan mengambil Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 1,373 orang, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) seramai 473 orang dan secara keseluruhannya berjumlah 3,549 orang,” katanya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, berkata setakat ini seramai 3,141 Pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 SMAN menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.