Sekolah diperkasakan, tahfiz diutamakan

Sekolah diperkasakan, tahfiz diutamakan

KUANTAN: Kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah memperkenalkan pelbagai peruntukan menerusi Belanjawan Negeri 2023 dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan agama di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri sentiasa memberi peluang pendidikan kepada anak-anak Pahang termasuk pendidikan agama.

“Sekolah diperkasakan, tahfiz diutamakan itu yang kerajaan negeri lakukan sejak dahulu lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi, di  Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

YAM Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mencemar duli hadir menyerikan majlis mewakili KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 

Hadir sama, YAB Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan negeri. 

Majlis diserikan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Far East,  selawat oleh Syeikh Mustafa Sirya, Syeikh Dhiya’ Sirya dan Kumpulan Mursyidul Hadi, Ribat Mustafa dan ceramah Maulidur Rasul oleh Maulana Cik Wan Hilmy Wan Mohamed.

YAB Menteri Besar ketika membentangkan bajet negeri, Jumaat lalu, antara lain telah memperuntukkan RM148.23 juta bagi memperkasakan institusi agama, RM1.7 juta membuka lapan cawangan tadika tahfiz yang baharu, RM1 juta pembangunan baharu Kampus Maahad Tahfiz Profesional di Lipis dan RM1 juta untuk membangunkan institusi latihan kemahiran baharu Maahad Tahfiz TVET di Penor.

Sementara itu, 1,200 peserta daripada 32 kontinjen membabitkan sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil bahagian dalam perarakan bermula dari Taman Gelora menuju dewan jubli sejauh 3.5 kilometer. 

Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menduduki tempat pertama Pertandingan Sepanduk dan Perarakan sempena Maulidur Rasul bagi kategori jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan, masjid, manakala Kuliah Al-Lughnah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan, bagi kategori sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Masing-masing membawa pulang RM3,000 tunai, piala iringan, piala pusingan dan sijil penghargaan.- NUR HANNAH KHADIJAH