Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang mahu Persidangan UMNO cawangan sebagai medan untuk memberikan pandangan dan idea bernas bagi matlamat serta tujuan yang betul.
YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persidangan cawangan amat penting kerana ia adalah pentas membincangkan agenda memperkuatkan parti dan memartabatkan UMNO di mata rakyat di peringkat akar umbi.
“Oleh itu, selamat bersidang kepada semua perwakilan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh Pahang.
“Amalkan norma baharu dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika persidangan berlangsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada 29 September lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan beberapa ketentuan mengenai tarikh untuk diadakan persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Persidangan UMNO Cawangan bermula 15 Oktober hingga 30 November 2021, manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian, diadakan serentak seluruh negara, pada 11 dan 12 Disember 2021.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian juga diadakan serentak seluruh negara pada 18 Disember 2021, manakala PAU 2021 akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022.
Semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana penangguhan Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.