KUANTAN: Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin meninggal dunia ketika menerima rawatan jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini, kira-kira jam 7 pagi tadi.
Allahyarham yang juga wartawan eksekutif Fikrah Pahang, dimasukkan ke HTAA, 2 Disember lalu selepas mengadu sakit dada, namun dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.
Beliau bagaimanapun sekali lagi dimasukkan ke hospital berkenaan Sabtu lalu selepas kesihatannya semakin merosot.
Allahyarham Nik Naizi yang juga antara tunjang utama penubuhan Fikrah Pahang pada 2020, pernah berkhidmat sebagai jurugambar akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan mula bertugas seterusnya menetap di Kuantan sejak 1995.
Sementara itu, pemergian Allahyarham turut dirasai YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang berkongsi berita sedih itu di laman Facebook rasminya, hari ini.
“Mendapat perkhabaran duka awal pagi tadi dengan pemergian Dato’ Nik Naizi Husin telah kembali ke rahmatullah.
“Allahyarham adalah Presiden Kelab Media Pahang yang sangat aktif dan kami sering bersua dalam majlis dan program yang saya hadiri.
“Saya doakan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Semoga ahli keluarga tabah dan diberikan kekuatan mengharungi dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN DAN NUR HANNAH KHADIJAH