Selamat kembali ke Tioman, kata penduduknya

Selamat kembali ke Tioman, kata penduduknya

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pembukaan sektor pelancongan di Pulau Tioman bermula 1 Oktober ini, diyakini dapat menghidupkan semula ekonomi pengusaha pelancongan di pulau itu terutama penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berkata, sebahagian besar penduduk di pulau itu bergantung sepenuhnya pendapatan daripada sektor pelancongan.

Justeru, katanya, sebaik diumumkan Pulau Tioman dibuka kepada pelancong, kumpulan yang paling gembira adalah penduduk pulau berkenaan.

“Saya sebagai ADUN Tioman juga gembira kerana sektor pelancongan di Pulau Tioman sudah lama tidak dikunjungi pelancong kesan daripada penularan wabak pandemik COVID-19.

“Saya harap penduduk yang terjejas sumber pendapatan lega kerana saya jangkakan ramai yang akan ke Pulau Tioman yang sememangnya terkenal dan popular di negara ini, malah di luar negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, berkata Pulau Tioman mempunyai 3,500 penduduk daripada tujuh kampung.

Katanya, penduduk paling ramai di pulau peranginan itu ialah di Kampung Tekek, Kampung Genting dan Kampung Paya.

“Bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, saya menasihati penduduk dan pelancong mengikut arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Langkah itu untuk memastikan penularan kes COVID-19 dapat disekat,” katanya.