Kerajaan pusat perlu batalkan segera arahan penutupan
Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Buka semula Taman Negara! Itu keputusan sebulat suara dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), semalam.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penutupan Taman Negara berikutan penularan gelombang ketiga pandemik COVID-19 adalah tidak diperlukan memandangkan kawasan destinasi pelancongan itu tidak berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Taman Negara, seperti juga Jerantut dan Lipis serta negeri Pahang keseluruhannya, tidak berada di bawah PKPB.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri meminta Kerajaan Pusat khususnya PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) supaya segera membuka semula operasi Taman Negara di kedua-dua laluan masuk Kuala Tahan, Jerantut dan Merapoh, Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, berikutan arahan penutupan berkenaan, kerajaan negeri menerima rungutan daripada pengusaha-pengusaha aktiviti eko pelancongan di Taman Negara yang mengadu kehilangan punca pendapatan.
“Mereka ini terdiri daripada 170 pemandu pelancong, pengusaha bot (78) di Sungai Tahan, pengusaha bot (30) di Sungai Tembeling, agensi pelancongan (17) dan pengusaha penginapan (38).
“Ini tidak termasuk pengusaha sokongan lain antaranya pengusaha penyajian makanan, pembekal dan peruncit yang bergantung harap kepada bidang ekopelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka,” katanya.
Susulan itu, katanya, perkara sama dibincangkan pada mesyuarat MMK Negeri pagi semalam dan kerajaan negeri memutuskan untuk meminta Kerajaan Pusat membatalkan segera arahan penutupan terbabit.
“Seandainya arahan ini ditarik semula, kerajaan negeri meminta pengusaha serta pengunjung, terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapkan,” katanya.