KUANTAN: “Pengunjung Pasar Ramadan Taman Tas boleh turut sama bayar zakat fitrah dengan saya, tanpa perlu ke masjid,” kata amil bertauliah, Mohd Yusop Harun, 69.
Menurutnya, dia menjadikan Pasar Ramadan Taman Tas sebagai lokasi menerima bayaran zakat fitrah sejak lima tahun lalu.
“Saya datang ke Pasar Ramadan Taman Tas selepas selesai menunaikan Asar di masjid dan selesai pada 6.30 petang. Jumlah mereka yang membayar zakat fitrah tidak menentu setiap hari.
“Saya seronok berada Pasar Ramadan Taman Tas kerana dapat membantu memudahkan mereka yang ingin membayar zakat fitrah. Selepas selesai membeli juadah berbuka puasa boleh bertemu saya menunaikan tanggungjawab,” katanya.
Dia yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, kepuasan sebagai amil bertauliah apabila dapat bertemu masyarakat Islam setiap kali Ramadan. – MOHD IMRAN IZZAD