Selesai ganti Musang King di HSK Batu Talam seminggu lagi

Selesai ganti Musang King di HSK Batu Talam seminggu lagi

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

RAUB: Kerja penanaman kesemua 20,000 pokok hutan yang menggantikan Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, dijangka siap dalam seminggu lagi.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata sehingga ini, 16,445 pokok selesai ditanam.

Menurutnya, pokok hutan yang ditanam ialah spesies Merawan, Meranti, Balau dan Keruing membabitkan kawasan kira-kira 101 hektar yang sebelum ini diteroka secara haram oleh pekebun durian Musang King. 

RAUB ..Kakitangan Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat menanam pokok hutan dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang sebelum diceroboh dijadikan kebun durian Musang King secara haram seluas 101 hektar.


Katanya, pihaknya turut menanam 610 spesies pokok nadir membabitkan 200 pokok sentul dan 410 pokok tampoi. 

“Purata sehari kakitangan JPNP dapat menanam adalah antara 900 hingga 1,000 pokok hutan dengan jarak 6×6 meter bergantung pada jumlah kakitangan yang terbabit,” katanya. 

Beliau berkata, aktiviti menanam pokok hutan yang berumur antara dua hingga tiga tahun itu sebaik selesai kerja menebang kira-kira 15,000 pokok durian Musang King, pada 11 Julai lalu. 

Wan Ghazali berkata, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan pokok ara untuk ditanam di kawasan lembah dan tepi sumber air kerana pokok spesies berkenaan memerlukan lebih air untuk membesar dan subur. 

Sementara itu, tinjauan di HSK Batu Talam mendapati aktiviti penanaman dipantau oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dua Sekatan Jalan Raya (SJR) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PGA turut diadakan sejak awal Operasi Pamah diadakan pada 3 Julai lalu.

Hutan Simpan Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002 dan  sekiranya pencemaran, ia akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini.