Semangat BN Lipis berada di tahap tertinggi untuk PRU15

Semangat BN Lipis berada di tahap tertinggi untuk PRU15

LIPIS: “UMNO dan Barisan Nasional (BN) Lipis kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk menghadapi PRU15 yang dijangka November depan,”  kata Ketua UMNO Bahagian Lipis. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad. 

Menurutnya, persediaan dan simulasi yang diadakan sebelum ini menunjukkan kecenderungan pengundi memilih BN bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lipis. 

“Kecenderungan ini berasaskan maklum balas yang diberikan terhadap perkhidmatan dan kebajikan yang dihulurkan oleh kepimpinan BN di Lipis selain kerap turun padang bertemu masyarakat di kawasan ini. 

“Saya melihat gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua lapisan kepimpinan sama ada peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pada tahap yang tinggi sekaligus menunjukkan kita bersedia mempertahankan Parlimen dan DUN di bawah Lipis,” katanya. 

Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi; Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Mustapa Long; Ketua Pemuda Bahagian, Farid Mohd Nor serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian Lipis. – MUHAMMAD NAJMIE