Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Lebih 1,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz dipasang secara gotong-royong penduduk Kampung Permatang Pauh di sekitar kampung mereka sempena Hari Kebangsaan Ke-64.
Ketua Kampung Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud, berkata Jalur Gemilang dibekalkan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Permatang Pauh dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Permatang Pauh. Menurutnya, aktiviti memasang Jalur Gemilang di beberapa lokasi tumpuan sekitar kampung dilakukan sukarelawan terdiri daripada golongan belia dan penduduk setempat.
“Saya bangga dengan semangat yang ditunjukan penduduk apabila turut sama memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing. Malah, mereka membeli dan memasangnya sejak seminggu lalu,” katanya. Beliau berkata, walaupun negara sedang menghadapi cabaran Covid-19, semangat untuk menyambut hari kemerdekaan tetap membara. Penduduk, Robiah Mohamad, 71, berkata dia bangga apabila dapat turut sama terbabit mengibarkan Jalur Gemilang di rumah.
“Kemeriahan sambutan kali ini lebih terasa apabila banyak Jalur Gemilang berkibar di sekitar Kampung Permatang Pauh,” katanya.