KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memasang sekurang-kurangnya 2,800 Jalur Gemilang dan bendera Pahang menjelang Hari Kebangsaan 2022.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata Jalur Gemilang dan bendera Pahang dipasang di beberapa lokasi utama di bandar raya ini.
Menurutnya, antara laluan utama yang dihias dengan dua bendera berkenaan ialah Jalan Wong Ah Jang, Jalan Telok Sisik, Jalan Tanjung Lumpur, Jalan Gambut dan Jalan Beserah.
“Semua tempat tumpuan pelancong seperti kawasan Menara 188 dan Taman Esplanade serta bulatan jalan termasuk persimpangan turut dihias dengan Jalur Gemilang dan bendera Pahang.
“Kita juga mewajibkan semua premis perniagaan di daerah ini mengibarkan dua bendera berkenaan sebagai sokongan Bulan Kemerdekaan,” katanya, di sini hari ini.
Beliau menambah, surat pekeliling arahan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Pahang oleh pemilik premis telah dikeluarkan pihak MBK. – MOHD IMRAN IZZAD