RAUB: Seratus lima puluh kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah dan negeri, pada 31 Ogos ini.
Pengarah JPNP, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata perbarisan peringkat negeri turut membabitkan kenderaan yang digunakan JPNP bagi menjalankan tugas.
Menurutnya, perbarisan di peringkat daerah akan diketuai pegawai hutan daerah dan di antara 20 dan 30 kakitangan semua peringkat.
Menurutnya, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad dilantik sebagai ketua kontinjen perbarisan peringkat negeri dan kesemua kakitangan terbabit kini mengikuti latihan di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan.
“Empat belas kenderaan antaranya pacuan empat roda, motosikal, lori dan van balai pemeriksa hutan turut akan menyertai perbarisan,” katanya pada Program Perhimpunan Bulanan JPNP dan Penyerahan Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD