KUANTAN: “Alhamdulillah, bantuan ini buat saya bersemangat untuk kembali bekerja,” Amir Faiz Ruzaidi, 26, yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Cenderawasih, di sini.
Amir Faiz adalah antara 259 penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 3.0 Fasa 3 untuk pengusaha dan pekerja kantin; dewan makan asrama dan rancangan makanan tambahan (RMT) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu serta Beserah.
“Masa beberapa kali kena PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu memang hilang semangat sebab pendapatan hilang.
“Saya terpaksa usahakan buat perniagaan online… tapi itupun cuma boleh dapat separuh daripada pendapatan kerja kantin,” katanya.
Anak jati Kampung Bukit Setongkol itu berkata, dia berasa lega apabila namanya tersenarai antara penerima BPP hari ini.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan YAB MB (Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) yang tak pernah lupakan insan kecil seperti saya,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang selepas menerima bantuan berkenaan di Dewan Nilam Puri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan di Jalan Gambut, di sini hari ini.
Bantuan disampaikan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Bagi pengusaha kantin di SK Indera Mahkota 2, Noraini Mat Raat, 52, dia terharu menerima bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dialami selepas terjejas akibat PKP.
“PKP menyebabkan saya terduduk dan bila buka semula pun, hanya dapat suku (satu perempat) sahaja daripada pendapatan dulu.
“Paling sedih, saya terpaksa memberhentikan khidmat tiga daripada enam pekerja.
“Bagaimanapun, bila dapat bantuan ini memang terharu sangat sebab tahu YAB Menteri Besar memang benar-benar prihatin dalam membela nasib rakyat Pahang,” kata ibu kepada enam anak itu.
Sementara itu, Mohammad Rosli berkata bantuan hari ini adalah terakhir untuk daerah Kuantan membabitkan lima sesi pengagihan.
“Secara keseluruhannya 3,036 penerma di 11 daerah mendapat manfaat daripada BPP 3.0 Fasa 3 ini membabitkan peruntukan lebih RM300,000.
“Kuantan adalah daerah menerima sumbangan terbesar iaitu membabitkan 675 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM67,500 daripada kerajaan negeri,” kataya. – HELMY ABD RAHMAN