Semangat Tok Jo tak luntur dek tsunami politik

Semangat Tok Jo tak luntur dek tsunami politik

ROMPIN: Tsunami politik golongan Melayu yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) ‘mencuri’ banyak kerusi tradisi UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lalu, tidak menggoyahkan semangat calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.

Malah, beliau menganggap ia secara tidak langsung menaikkan semangat juangnya sekali gus melipat gandakan usaha untuk menarik kembali hati pengundi yang dilihat beralih arah.

“Memang keadaan itu (keputusan PRU15) sedikit sebanyak membimbangkan dan mungkin mereka juga memberi keputusan luar dugaan seandainya pengundian dijalankan pada hari sama.

“Namun begitu, sebagai calon BN dan penyandang kerusi DUN ini, sudah pasti kita tak akan mengalah dan melakukan sehabis baik. Saya juga yakin dan percaya BN mampu mempertahankan DUN Tioman,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.   

PRU-15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini, berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Selain Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN Nor Idayu Hashim, Mohd Fadzli Mohd Ramly mewakili Pakatan Harapan (PH), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (BEBAS).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara. – HELMY ABD RAHMAN