Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Sebanyak 16 kenderaan moden dan klasik termasuk dua foklif musnah dalam kebakaran membabitkan sederet sembilan bengkel serta stor di kawasan perindustrian Padang Lalang, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan berkenaan mengakibatkan lapan bengkel musnah.
Pengurus Besar Getra Sdn Bhd, Azlindawatty Muhamed, berkata hampir keseluruhan dua stor menyimpan pelbagai peralatan termasuk kabel Telekom Malaysia (TM) dan beberapa unit enjin kuasa elektrik musnah dalam kebakaran berkenaan.
Katanya, majikannya mula menyewa dua unit stor itu tahun lalu yang terletak berhadapan dengan pejabat urusan syarikat.
“Saya dapat tahu mengenai kebakaran ini kira-kira jam 5 pagi dan sebaik tiba bersama beberapa kakitangan lain, kami lihat api sedang marak dan usaha memadam api dilakukan anggota bomba.
“Kerugian dianggarkan lebih RM1 juta dan kebakaran ini akan menjejaskan operasi pemasangan kabel TM berkuasa tinggi di beberapa kawasan di Pahang Timur,” katanya kontraktor TM itu.
Pemilik bengkel kereta, Lee Meng Choy, 32 berkata sebanyak 16 kereta pelbagai jenis miliknya termasuk beberapa pelanggan musnah terbakar hanya dalam sekelip mata sahaja.
Menurutnya, lebih menyedihkan lagi beberapa kereta klasik kesayanganya seperti Jaguar dan Volkswagen yang disimpan dalam bengkel berkenaan turut musnah dalam kebakaran awal pagi tadi yang dianggap misteri.
Katanya, dua minggu lalu, tiga kenderaan disimpan di stor miliknya yang terletak kira-kira 50 meter dari bengkelnya turut musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6 pagi.
“Saya tak pasti punya kebakaran hari ini dan sukar untuk mempercayainya. Yang menyedihkan, belum sempat selesaikan kes kebakaran yang berlaku dua minggu lalu, hari ini kebakaran lebih besar berlaku yang hampir menutup periuk nasi saya dan beberapa pekerja,” katanya yang berharap pihak berkuasa segera menyiasat punca kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Komander Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sembilan lot membabitkan lima premis yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai peralatan dan barangan termasuk bengkel kereta musnah dalam insiden berkenaan.
“Sebaik menerima panggilan jam 4.40 pagi, seramai 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.
“Pihak Bomba dan Penyelamat mengambil masa panjang untuk memadam api di stor pakaian bundle kerana simpananya yang banyak berikutan baru tiba semalam,” katanya.