Sembilan pusat pemindahan banjir dibuka

Sembilan pusat pemindahan banjir dibuka

KUANTAN: Sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Pahang membabitkan 169 mangsa banjir daripada 45 keluarga di Maran dan Raub, sehingga 7 malam ini.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 109 mangsa ditempatkan di lima PPS di Maran iaitu Balai Penerangan UMNO Pekan Sungai Jerik, Dewan Serbaguna Sungai Jerik, Dewan JKKR Jengka 14, Dewan JKKR Jengka 11 dan Dewan UMNO Ulu Jempol.

Di Raub pula 60 mangsa mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu surau Kampung Peruas, Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Balai Raya Kampung Pamah Rawas dan Balai Raya Kampung Keloi.

Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya dengan masing-masing mencatat bacaan 84.24 meter (m) dan 58.65m. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN