KUANTAN: Sudah empat bulan dia terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pahang Medical Center (PMC) di sini, namun hari ini penderitaannya itu sedikit sebanyak berkurang apabila menerima kunjungan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat mencemar duli melawatnya di pusat perubatan itu.
Ahmad Jraiah Ibrahim, guru agama di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, menderita kanser paru-paru tahap empat.
Dalam kunjungannya, Tengku Hassanal Ibrahim turut mengurniakan sumbangan kewangan dan memberikan kata semangat kepada keluarga Ahmad Jraiah supaya tabah berdepan cabaran itu.
Turut mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Ayed Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.
Ahmad Jraiah sudah 16 tahun berkhidmat sebagai guru agama di tiga sekolah menengah di Pahang sejak 2006 lagi.
“Dia pernah berkhidmat di SMAN Rompin selama tujuh tahun; Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh (enam tahun) dan SMAN Tengku Ampuan (tiga tahun).
“Memandangkan jasanya yang banyak, dan dia guru yang tidak dibayar oleh kerajaan negeri sama ada elaun mahupun gaji, dengan perkenan Tuanku Agong (KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), YAB Menteri Besar, Dato Sri Utama Wan Rosdy (Wan Ismail) bersetuju supaya kerajaan negeri menanggung sebahagian kos rawatan.
“Kos pertama sebanyak RM17,786.30, disusuli pula sumbangan RM30,000 kepada keluarganya selain kos tiket penerbangan keluarga yang juga dibantu. Semoga Allah melimpahkan pesakit ini segala ketabahan dan kebaikan, Amin,” kata Syed Ibrahim dalam hantaran di Facebook, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN